Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu Agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Kuridhoi Islam itu jadi Agama Bagimu (Al Maidah: ayat 3)

9.26.2008

AIDIL FITRI AIDIL INSANI

1. Mukaddimah 

APABILA umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan pada bulan Ramadan, saat berakhirnya puasa itu disambut dengan perayaan aidilfitri, yang bererti secara harfiahnya “kembali seperti sedia kala.” Dari segi adatnya umat Islam kembali makan minum di siang hari namun dari segi pengertian agama, umat Islam kembali kepada fitrahnya, iaitu kejadian asal manusia, seperti dikatakan oleh Nabi: “Manusia dilahirkan dalam bentuk fitrah, ibu bapanya yang mencorakkan menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” Ertinya, umat Islam setelah melalui tamrin atau latihan jasad dan kerohanian sepanjang bulan Ramadan, dengan menahan segala yang dilarang agama, akan memulihkan kedudukan manusia itu ke tempat yang asal. Tempat asalnya atau fitrahnya ialah “ahsanu taqwim” (sebaik-baik kejadian) seperti diungkapkan dalam al-Quran

Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam keadaan atau binaan yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami lemparkan mereka di tempat yang paling buruk.” 


Mengikut hadist, pada bulan Sya’ban, sebelum puasa, kitab amal manusia akan ditutup dan diserahkan ke langit. Manusia selepas itu menjalani tamrin atau latihan pada bulan Ramadan, dan akan memulai cara hidup baru pada bulan Syawal. 

2. Aidil fitri Sebagai Hari Kemenangan 

Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi para salihin, muqarrabin dan muslimin. Selama sebulan mereka menghadapi dugaan Allah; siang harinya melawan tuntutan nafsu dan runtuhan amarah; malamnya mereka qiam, bersembahyang tarawih, witir dan bertadarus. Kehadiran Aidilfitri merupakan anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang takwa dan tawadhuk. 

Hari Raya Aidilfitri sebenarnya puncak peribadatan yang diamalkan di sepanjang Ramadhan. Di pagi Syawal umat Islam berzikir, bertasbih, bertahmid dan bertasyahud sebagai menyatakan kesyukuran ke atas nikmat yang telah dianugerah oleh Allah. Ibadat puasa dalam perkiraan Allah itu sangat tinggi. Diriwayatkan oleh Ahmad Al-Nasai dan Al-Hakim Abu Umamah, katanya, “saya bertemu Rasulullah S.A.W. lalu saya menyatakan suruhlah saya mengerjakan sesuatu amalan yang memasukkan saya ke dalam syurga. Bersabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Tetaplah engkau berpuasa, kerana puasa itu tak ada bandingannya.” Kemudian saya mendatangi nabi kali yang kedua, maka nabi berkata pula: “Tetaplah engkau berpuasa.” 

Dari riwayat Ahmad Al-Nasai dan al-Hakim Abu Umamah itu, menjelaskan ganjaran puasa ialah syurga. Ini bererti bahawa pahala puasa itu sangat tinggi, dan nilainya di sisi Allah sangatlah besar. Ketinggian dan kebesaran ibadat puasa itu pula, memberi pengertian yang mendalam terhadap definisi Hari Raya Aidilfitri. 

3. Definisi Hari Raya Aidilfitri 

Sejarah Hari Raya Aidilfitri ini, selain daripada hubungannya dengan ibadat puasa, iaitu menandakan tibanya manifestasi kemenangan, juga sebagai anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Fitrah bererti naluri, sesuatu yang selari dengan sifat kejadian manusia. Jadi, Hari Raya Aidilfitri atau ‘Idil al-fithr’ itu ialah suatu perayaan kemenangan yang sesuai dengan kejadian sifat manusia. Hari itu haruslah dirayakan menurut sifat manusia itu sendiri. 

Apakah sifat manusia? 

  Manusia berasal daripada perkataan ‘nun’, ‘sin’ dan ‘ya’, iaitu ‘nusia’. Perkataan ini bermaksud ‘pelupa’, ‘lalai’ atau secara iktisarnya dapat ditegaskan sebagai makhluk yang lemah dan mudah terpedaya. Dari situ timbul perkataan ‘insan’, iaitu hamba yang dicipta oleh pencipta-Nya dalam keadaan yang selalu atau sering ‘kurang berdaya’. Jadi, sama ada manusia atau insan, maknanya adalah sama, iaitu suatu kejadian yang dikelilingi oleh kealpaan dan kelemahan. 

  Memahami hakikat ini, bukannya bererti sesuatu yang luar biasa, justeru kita manusia dalam hidup ini tidak akan terhindar, malah tidak berkuasa untuk tidak melakukan kesalahan. Bagaimanapun seperti yang diakui oleh Allah sendiri, manusia ini dicipta dalam keadaan sebaik-baik kejadian. Di antara sifat kebaikan manusia itu ialah mempunyai akal, dan boleh berbicara. Dalam diri manusia disediakan perasaan, naluri dan keinginan. Manusia cintakan hal-hal yang indah, cantik dan mengkhayalkan. Manusia inginkan kekayaan. Manusia mahu kebahagiaan dan sebagainya. Itulah fitrah manusia. 

  Islam adalah agama fitrah. Agama yang paling sesuai dengan sifat dan keinginan manusia. Islam sesungguhnya adalah agama manusia yang memahami jiwa, perasaan dan pemikirannya. Dan Islam juga agama yang mudah, justeru manusia inginkan kemudahan bukan sifat-sifat atau ciri-ciri manusia dan nalurinya, yang bertentangan dengan Islam. Islam membenarkan manusia berkahwin, beranak pinak dan berketurunan. Islam menggalakkan mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya asal sahaja dari sumber yang halal. 

  Oleh kerana manusia dibekalkan oleh bermacam-macam naluri dan fitrah; dan manusia dilepas-bebaskan ingin memenuhi kehendak nalurinya; bererti ia akan terjerumus ke lembah tamak. Manusia yang dijadikan sifat kealpaan dan kelupaan sering sahaja tenggelam ke dasar pemuasan nafsu syaitannya jueteru itu, Islam tidak membenarkan pemenuhan keinginan naluri itu secara membabi buta. Naluri dan fitrah manusia dalam pandangan Islam ada batasannya. 

  Manusia boleh makan dan minum. Tetapi jangan makan dan minum secara berlebihan. Apalagi memakan makanan yang haram. Dan apabila datang bulan puasa, manusia diharamkan makan di waktu siang harinya. Bukankah ibadat puasa itu, sesungguhnya sebagai jaringan dan tapisan kepada pemenuhan fitrah yang amarah dan ganas serta rakus itu? 

  Memahami pengertian ‘manusia’, ‘insan’ dan ‘fitrah’ dalam konteks Islam, kita akan lebih memahami pula definisi dan fungsi Hari Raya Aidilfitri itu sebagai hari perayaan yang sesuai dengan sifat manusia. Justeru itu, walaupun hari Raya Puasa ini bererti ‘hari kemenangan’, ‘hari perayaan’ dan ‘hari bersuka ria’, tetapi ada batas-batas dan sempadannya. Kita tidak boleh merayakan dengan memenuhi keinginan nafsu dan rasa pemuasan manusiawi kita. Alangkah buruknya dalam pandangan Islam hari mulia itu kita cemari dengan amalan dan perbuatan jijik yang melanggar batas kesucian. 

 4. Pengisian Hari Raya Aidilfitri 

  i) Berpakaian bersih dan bersembahyang sunat 

  Sebaik-baik merayakan hari yang berkat itu, kita mencontohi amalan-amalan sunnah yang dilakukan oleh Rasullah dan para sahabat baginda seperti berpakaian bersih dan cantik di pagi Hari Raya sebagai tanda kebesaran dan nikmat dari Allah. Ketibaan pagi Sya-wal harus diniati untuk pergi ke masjid bersembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri. Nabi Muhammad S.A.W., menurut Anas, ada menyatakan, baginda tidak akan ke masjid sehingga baginda terlebih dahulu makan buah tamar. Hadis Bukhari ini menunjukkan bahawa amalan yang baik di pagi raya itu makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Sesampai ke masjid, baginda akan bersembahyang Hari Raya Aidilfitri bersama-sama kaun muslimin; kemudian memberi khutbah.  

  ii. Bersedekah dan Membayar Zakat Fitrah  

  Bersedekah dalam konsep Islam di Hari Raya menandakan kesyukuran orang-orang berada bersimpati dengan orang-orang yang kurang berupaya untuk bersama-sama meraikannya. Dalam konteks menolong orang-orang kurang upaya, terutamanya fakir miskin, Islam mewajibkan kaum muslimin supaya mengeluarkan zakat fitrah. Pahala meeka yang mengerjakan rukun islam yang keempat ini hanya akan tergantung di awangan, jika tidak berfitrah; dan akan diangkat ke langit setelah zakat fitrah dikeluarkan. Zakat adalah sebutan dari sebuah hak Allah Taala yang dikeluarkan seseorang kepada fakir miskin. Di dalamnya terkandung harapan untuk beroleh berkat, membersihkan jiwa dan memupuknya dengan pelbagai kebajikan. Siapa yang membayarnya sebelum sembahyang hari raya menandakan zakatnya diterima Allah dan siapa yang membayar selepas sembahyang, zakatnya samalah seperti sedekah biasa. 

  Hari Raya Aidilfitri, harus dirayakan oleh setiap golongan Islam, baik yang kaya ataupun miskin. Pada hari itu, tiada perbezaan antara kaya atau miskin. Sebagai bukti hikmat puasa. Puasa mengajar kepada golongan kaya, supaya merasakan penderitaan dan kesengsaraan golongan fakir miskin. Di hari yang mulia itulah golongan kaya, tidak hanya setakat merasakan keazaban itu, tetapi memberikan sebahagian dari kekayaannya untuk dinikmati oleh golongan yang kurang mendapat nikmat dunia ini. 

 iii. Bermaaf-maafan dan Menjalin Persaudaraan 

 Suatu amalan yang suci telah menjadi budaya orang-orang Islam di Malaysia pada Hari Raya ialah bermaaf-maafan. Baik yang muda atau tua, menghulur tangan, memberi tahniah dan ‘mubarak’. Mereka mengungkapkan ucapan ‘maaf lahir dan batin’ dan ‘minal a’idin wal faizin’ ( orang yang pulih dan berjaya ) serta memohon diampunkan segala dosa. Memanglah dalam interaksi sosial, tentu ada sahaja perbuatan yang boleh melukakan hati sahabat sesama muslim; begitu juga ada perasaan tidak baik yang tersimpan di sanubari dan batin; pada hari itulah segalanya dibersihkan: memohon ampun agar Tuhan memberikan limpah kurnia-Nya. 

  Tegasnya Hari Raya Aidilfitri, menjadi jambatan yang menghubungkan silaturahim antara sesama kaum Islam. Sahabat yang jauh didekatkan. Hanya dengan eratnya persahabatan sesama Islam, kekuatan agama ini akan terasa padu dan kukuh. Sebab itu, Islam menggalakkan selepas bersembahyang sunat, berkumpul di rumah untuk merapatkan hubungan sesama keluarga yang menjadi asas mujtamak Islami; kemudian berziarah ke rumah jiran tetangga dan sahabat handai bertujuan untuk mempererat tali persaudaraan yang sedia ada. Sebenarnya kunjungan dan lawatan yang utama ialah menghubungkan persaudaraan bukan makanan yang sedap-sedap semata-mata atau menghias rumah secara berlebihan. 

  Sebagai negara bermasyarakat majmuk, Hari Raya dapat dijadikan landasan untuk memupuk persafahaman dan muhibah antara kaum. Tuhan sememangnya menjadikan manusia ini bersuku-suku dan berkaum-kaum, tujuannya ialah untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain. Maka Hari Raya Aidilfitri ini dapat memenuhi hasrat dan aspirasi ‘perkenalan’ itu. 

  Cuma, dalam kontek meraikan tetamu bukan Islam ini, janganlah pula terlalu ghairah misalnya sehingga sanggup menyediakan minuman yang haram untuk tetamunya itu. Malah tetamu itu awal-awal lagi menyatakan, jika tidak disediakan minuman keras dia tidak akan datang mengunjung. Jadi, Hari Raya Aidilfitri yang mulia itu, yang berhasrat tujuan untuk muhibah antara kaum, telah menjadi medan maksiat. Sesungguhnya cara muhibah begini, langsung tidak dikehendaki dalam Islam. Sebagai seorang penganut yang diredai, ia harus menjelaskan kedudukan itu kepada sahabat yang bukan Islam itu kerana orang-orang Islam mempunyai caranya yang tersendiri untuk merayakannya. 

  Islam tidak melarang hiburan atau bentuk pesta sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri ini. Islam sebagai agama fitrah mengetahui apa yang dirasa, difikir dan diinginkan oleh manusia. Tetapi bentuk hiburan itu tidaklah sampai melampau batas kefitrahan manusia, sehingga ia lupa pada dirinya. 

  Daripada Aisyah (ra), beliau menyatakan telah datang Abu Bakar ketika dua orang jariah dari golongan Ansar menyanyi dengan lagu ‘youm bu ‘ath’ iaitu hari kemenangan. Saidina Abu Bakar berkata: apakah ada suara syaitan di rumah Rasululah, dan sebenarnya pada hari itu Hari Raya. Hal ini diketahui oleh Baginda Rasululah S.A.W. lalu menyatakan bahawa setiap kaum itu ada hari rayanya dan dan hari raya ini adalah hari raya untuk kaum Muslim. Dari Aishah ini, dapat dirumuskan bahawa pada Hari Raya Aidilfitri ini, Islam membenarkan nyanyian untuk berhibur. 

  Cuma bentuk nyanyian dan hiburan itu harus difahami. Isi nyanyiannya ialah ‘yaoum bi’ath’ yang dimaksudkan sebagai nyanyian-nyanyian yang berisikan puji-pujian kepada Allah. 

  Dalam hadis itu tidak menyebutkan kedua-dua jariah itu menyanyi dengan iringan sebarang apa alat bunyi-bunyian. Sesuai dengan Hari Raya Aidilfitri, hari menyambut kemenangan, maka Islam membenarkan umatnya menyanyikan lagu-lagu yang senada dengan syarat-syarat yang diberikan. Di antara lagu-lagu yang dapat dicontohkan ialah lagu-lagu nasyid, berzanji, bernazam dan sebagainya. Sesungguhnya tidaklah sesuai dengan lagu disko atau lagu asmara, yang sama sekali mengenetepikan roh kebesaran Hari Raya itu. Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan, bahawa di Hari Raya Aidilfitri kita boleh bergembira, asalkan sahaja mengikut batasan-batasannya. 

  Batasan-batasan fitrah manusia ini, sesungguhnya mempunyai hikmahnya, supaya manusia menghormati dan memberi penilaian yang tinggi terhadap kejadiannya. Dalam surah al-Israk ayat 70, Allah berfirman “Sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam dan Kami angkat mereka dengan kenderaan di daratan dan di lautan. Kami telah kurniakan kepada mereka rezeki yang baik dan Kami telah lebihkan mereka di atas kebanyakan makhluk yang Kami jadikan dengan kelebihan (yang sempurna)”. Ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa manusia itu diberi keistimewaan dan berbagai-bagai kelebihan. Manusia seharusnya bersyukur atas nikmat dan pemberian Tuhan itu. 

 5. Pengajaran Di Sebalik Hari Raya Aidilfitri 

  Hari Raya Aidilfitri yang mengingatkan manusia akan kejadiannya yang fitriah itu, haruslah difahami dan disedari. Janganlah melakukan sesuatu yang boleh melanggar kefitriahannya. Sewaktu berhubungan antara satu sama lain, Rasulullah bersabda: “Bergaullah dengan orang-orang menurut apa yang anda suka mereka bergaul dengan anda. Dan jangan suka mementingkan diri sendiri”. Dalam ayat 8 surah al-Maidah, Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berdiri kerana Allah, menjadi saksi kerana keadilan. Jangan bahayakan kamu dengan perpecahan suatu kaum dari yang tidak melakukan keadilan. Berlaku adillah, itulah yang lebih hampir kepada takwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengerti apa-apa yang kamu kerjakan.” 

  Sesungguhnya Islam telah menggariskan konsep fitriah dan konsep pengalaman Hari Raya Aidilfitri itu. Kita sebagai umat Islam hendaklah mengetahui dan membudayakan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh Rasululah dan para sahabat. Tidak ada maknanya puasa dilakukan sepanjang bulan puasa, jika amalan Hari Raya itu dilakukan di luar garis-garis yang dibenarkan. Sesungguhnya amalan dan segala ibadat itu adalah wajib dan sebagai dugaan kebenaran iman. 

Ayat 165, surah al-An’am, Allah berfirman yang maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi, dan mengangkat darjat-darjat dari kamu atas sebahagian untuk menguji kamu tentang apa yang Dia telah datangkan kepada kamu, lalu Dia mengkhabarkan kepadamu apa-apa yang kamu perselisihkan.” Sesungguhnya ibadat puasa, sama juga dengan ibadat yang lain adalah amanah dan dugaan dari Allah bagi membuktikan keikhlasan dan ketaatbudian insan kepada al-Khaliqnya.


0 komentar:

Posting Komentar

Terimaksih sudah menyempatkan waktunya untuk membaca artikel diatas,silahkan tinggalkan komentar Anda